Ayam Laga Import Jadi Rebutan
Biasanya ayam kampung dijual RM8 hingga RM10 sekilogram, tetapi siapa sangka ayam peliharaan seorang pemuda dari Kampung Sekati, Manir, Terengganu boleh dijual sehingga RM7,000 seekor bergantung kepada saiz dan kecantikan unggas berkenaan.
Ini berikutan ternakan Md Fairuz Al-Syafiq, 30, itu bukan ayam kampung biasa, tetapi sudah menjalani proses pembangunan dan penyelidikan (R&D).
Ia dikenali sebagai ayam ratu Leung Hang Khau (LHK) dalam bahasa Thai yang bermaksud Kuning Ekor Putih. Ia juga dipanggil ayam baka baik atau lebih dikenali sebagai ayam laga.
Dia memelihara pelbagai baka ayam laga termasuk Ganu, Pama, Saigon dan Pakhoi.
Sebelum ini kegiatan menternak ayam ratu dan ayam laga tidak diterima masyarakat serta dipandang serong kerana dikaitkan dengan kegiatan perjudian.
Bagaimanapun, kini masyarakat kian menerima unggas unik itu yang dianggap sebagai haiwan peliharaan yang mempunyai nilai tinggi dan eksklusif setanding kucing, ikan perhiasan, anjing dan haiwan eksotik lain.
Md Fairuz berkata, dia memperoleh pendapatan bersih RM5,000 hingga RM10,000 sebulan hasil menternak dan menjual ayam ratu dan laga daripada pelbagai jenis baka itu.
“Ayam ratu mendapat sambutan kerana kecantikannya yang dianggap unik, malah kini kerap dipertandingan seperti mana pertandingan ayam serama. Ini menyebabkan permintaan terhadap spesies ayam ini meningkat.
“Kalau dulu ayam ini digunakan untuk bersabung dan berjudi, kini ia dipelihara kerana kecantikan dan keunikannya yang tersendiri,” katanya.
Menurutnya, ayam yang mempunyai ciri dikehendaki peminat terutama berekor panjang, warna menarik dan kesihatan yang baik mampu dijual dengan harga tinggi berikutan peminatnya mahu menggunakannya untuk menyertai pertandingan atau sekadar hobi,” katanya.
Md Fairuz berkata, ayam ternakannya adalah baka yang diimport dari Thailand, Vietnam dan Myanmar. Justeru, ia harganya agak tinggi berbanding ayam baka tempatan iaitu Ganu yang berasal dari negeri ini.
“Seekor ayam jantan berusia empat hingga lima bulan boleh dijual dengan harga RM1,200 hingga RM2,000 manakala ayam jantan yang sudah mencapai usia matang iaitu berusia setahun boleh mencecah RM2,100 hingga RM3,000 seekor bergantung pada baka selain corak balung dan warna bulu.
“Ayam ratu pula dijual dengan harga sama untuk anak berusia empat bulan manakala ayam ratu yang matang dijual dengan harga RM2,500 hingga RM5,000 seekor, malah di Thailand ayam yang memenangi pertandingan ayam cantik boleh mencecah RM30,000 hingga RM50,000 seekor.
“Kecantikan serta warna bulu ayam yang menjadi penentu kepada harga ayam adalah subjektif, bergantung kepada pembeli. Tawaran yang tertinggi akan mempunyai hak untuk memilikinya,” katanya.
Dia yang mula serius menternak ayam ratu dan laga pada awal 2012 melaburkan lebih RM20,000 untuk membina reban yang sesuai berinspirasikan reban ayam di Thailand.
Katanya, dia turut menghabiskan lebih RM25,000 untuk membeli induk jantan dan betina bagi tujuan pembiakan untuk memperoleh ayam bermutu tinggi yang mempunyai bulu dan bentuk balung unik.
“Kira-kira 80 peratus ayam yang saya biak dibeli dari Thailand, Vietnam dan Myanmar. Ayam yang paling mahal pernah saya beli ialah ayam Pama Saigon berharga RM3,000 seekor. Ayam itu kemudian dibiak dengan induk Pakhoi Vietnam yang dibeli dengan harga RM2,300.
“Biarpun banyak menternak ayam dari luar, saya turut memelihara baka tradisional Terengganu iaitu Ganu kerana struktur tubuh dan kualiti bulunya menarik dan cantik berkilat,” katanya.
Menurutnya, selain menjual ayam berusia empat bulan hingga setahun, dia juga menjual telur ayam ratu dan laga. Telur ayam itu mendapat sambutan hangat terutama dari Sabah dan Sarawak.
“Saya menjual telur ayam itu dengan harga RM60 hingga RM200 sebiji, bergantung kepada baka. Makin berkualiti bakanya, makin tinggi harganya.
“Telur itu akan dihantar melalui perkhidmatan kurier dan paling kurang 10 biji telur ayam laga dan ratu dihantar ke Sabah dan Sarawak, setiap bulan,” katanya.
Md Fairuz yang menjadikan penternakan ayam itu sebagai pekerjaan utamanya berkata, dia membelanjakan RM1,000 setiap bulan untuk menjamin kesihatan ternakannya dengan membeli ubat-ubatan dan makanan tambahan.
“Petua dan petanda ayam yang diternak segar dan bebas penyakit ialah apabila mukanya merah seperti biji saga selain mempunyai gelagat yang menarik apabila diajuk,” katanya.
Anak bongsu daripada 11 beradik itu berkata, pada peringkat awal pembabitan dalam ternakan itu, dia kerap dipandang serong.
“Ramai beranggapan penternakan ayam laga tidak mampu bertahan di negeri ini, tetapi selepas lebih empat tahun bergiat aktif, saya mampu membuktikan perniagaan ayam laga menguntungkan.
“Saya turut mempromosi perniagaan ini melalui Internet selain membuka kedai haiwan peliharaan di Manir pada Mac tahun lalu.
“Saya berhasrat membeli tanah dan membuka ladang pelbagai jenis baka ayam berkualiti tinggi termasuk ayam serama pada tahun depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan