Sabtu, 13 Februari 2016

Siti Bersama Peminat Selama 3 Hari




Buat julung kalinya kelab peminat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Sitizone mengadakan sambutan ulang tahun ke-12 penubuhan kelab itu di luar Kuala Lumpur.
Acara yang berlangsung di Primaland Port Dickson selama tiga hari baru-baru ini disertai 200 peminat.
Lebih istimewa apabila penyanyi kesayangan ramai itu turut serta dalam program itu. Bagi Siti, ia satu pengalaman baru apabila dapat meluangkan masa lebih lama bersama peminat.
“Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya apabila dapat turut serta dalam acara anjuran Sitizone kali ini. Ia satu pengalaman yang indah.
“Bukan saja boleh berjumpa dan berkumpul dengan peminat, tetapi dapat menyertai semua aktiviti yang diatur termasuk memasak di depan mereka,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Seindah Biasa ini, sambutan kali ini lebih meriah dan menyeronokkan sekali gus mengeratkan lagi hubungannya dengan ahli Sitizone.
“Acara tahunan ini biasanya diadakan pada awal Januari bersamaan dengan ulang tahun saya.
“Selalunya buat di Kuala Lumpur saja, tetapi kali ini saya beri mereka peluang memilih lokasi perjumpaan,” katanya.
Jika tahun lalu tema sambutan adalah kembali ke sekolah, tahun ini Siti memilih tema ‘survivor’.
Pelbagai acara diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan Siti dan peminat tempatan, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Pada malam pertama, berlangsungnya pertandingan mewarna bendera kumpulan, cerpen berantai Siti dan acapella.
Sebanyak 13 kumpulan mengambil bahagian berdasarkan nama album Siti.
Siti tidak terkecuali mewakili kumpulannya sendiri iaitu Siti Nurhaliza Productions.
Hari kedua membabitkan pertandingan Kenal Saya Tak? Apek dan Marjina serta Ekspresi Spontan.
Acara diteruskan dengan pertandingan Origami Siti dan juga cabaran makan Survivor. Antara menu pilhan Siti menerusi cabaran makan ini adalah telur mentah dan wasabi.
Sebelumnya, Siti membuat demonstrasi memasak resipi ‘Swedish Meatball’ untuk dijamu kepada peminat.
Tidak ketinggalan acara sukaneka seperti Charlie Chaplin, Tangkap Belakang, Pua Chu Kang, Tube Race dan Tempayan Bocor. Pada sebelah malamnya pula, diadakan malam gala bertemakan bunga. Kemuncak acara adalah pertandingan Karaoke dan mencari Peminat Unggul.
Setiap tahun Siti akan mencari seorang peminat unggul yang mampu menjawab semua soalan mengenai dirnya dengan tepat.
Bagi menyerikan lagi majlis, pihak hotel membuat kejutan sambutan ulang tahun Siti dengan menjemput pelawak Azlee Senario yang kebetulan menginap di situ. Azlee menyamar sebagai cef dan membawakan kek ke dalam dewan.
Tidak lengkap majlis pada malam itu tanpa mendengar dendangan lagu popular Siti.
Siti turut mengundang abangnya, Ayie dan kakak­nya, Saida untuk menyanyi di atas pentas.
Selain itu, Siti juga sempat menyanyi bersama ibunya, Siti Salmah Bachik dan ibu saudaranya.
Pada hari terakhir, Siti dan peminat melakukan zumba sebelum sesi penyampaian hadiah.
Pemenang dipilih berdasarkan jumlah markah dari hari pertama aktiviti diadakan sehingga hari terakhir.
“Saya berharap acara seperti ini akan diteruskana pada masa akan datang. Saya berpuas hati dapat meluangkan masa bersama peminat.
“Saya sangat menghargai sokongan mereka sepanjang dua dekad saya dalam industri muzik,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...