Lelaki Pukul Wanita Di tepi Jalan Disiasat Polis
Polis kini sedang menyiasat kes seorang lelaki yang memukul wanita menggunakan kasut yang didakwa berlaku berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam di sini petang Jumaat.
Video kejadian terbabit tersebar di media sosial.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu, lelaki terbabit yang dipercayai suami kepada wanita tersebut dilihat turut menendang wanita malang itu.
Selain itu, turut kelihatan seorang remaja perempuan dipercayai anak pasangan tersebut cuba memeluk erat mangsa bagi melindungi dari dipukul.
Perbuatan tersebut dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dipercayai menggunakan telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kes dan meminta saksi kejadian tampil membuat laporan.
"Kita meminta orang ramai yang berada di lokasi kejadian dan menyaksikan insiden berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan