Selasa, 23 Februari 2016

Mengenali Batu Ladung Dan Kegunaannya

Tips Pancing : Kenali Batu Ladung Dan Kegunaannya


Artikel di bawah boleh dimanfaatkan bagi mengenali batu ladung yang sesuai untuk jenis pancingan tertentu dan  serba sedikit sebagai kemudahan ketika sesi pancingan kelak. Kali ini saya akan berkongsikan jenis dan cara penggunaan batu ladung yang sesuai bagi setiap padang pancing

Batu Ladung atau pemberat merupakan antara aksesori wajib yang diperlukan untuk memancing. Kebiasaannya, batu ladung berperanan mengekalkan posisi perambut dan umpan anda. Batu ladung lazimnya diperbuat dari timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah dan menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan kakisan air laut.




Pembikinan batu ladung ini telah lama di laksanakan sejak dari zaman dahulu lagi, dan di zaman moden ini terdapat pembuat batu ladung yang masih menggunakan cara tradisional dalam proses peleburan timah, acuan dan penyejukan. Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang berada dipasaran masa kini. Walau bagaimana pun, masih ramai lagi yang kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz atau pun beratnya. Setiap jenis dan bentuk batu ladung mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan dapat digunakan mengikut kesesuaian padang pancing anda.


Batu Ladung Bulat



Batu ladung berbentuk bulat sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur. Tetapi ia tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut. Cara penggunaan batu ladung bergantung pada keadaan air di kawasan berarus deras, gunakan saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.


Batu Ladung Panjang



Batu ladung berbentuk panjang juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di pantai, Kolam mahupun tasik. Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai ataupun kuala. Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang. Bentuknya yang menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang. Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.


Batu Ladung Hidup



Batu ladung hidup merupakan sejenis pemberat yang membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Kebiasaannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ia juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial. Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan Siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti Siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa 'berat' dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis batu ladung hidup yang popular ketika ini ialah batu ladung biji kana dan batu ladung bulat.


Batu Ladung Sauh



Batu ladung sauh amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras terutamanya waktu air jalan pasang ataupun air jalan surut. Kegunaan dawai di sekeliling batu sauh ini dapat mencengkam dasar laut sekali gus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras.


Batu Ladung Leper



Bentuk batu ladung leper ini direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Namun begitu, batu jenis ini lebih sesuai digunakan untuk joran aksi ringan sahaja. Ini kerana, kebiasaannya, ikan-ikan sasaran untuk batu jenis ini hanya untuk ikan-ikan kecil seperti Gelama, Bebolos dan seangkatan dengannya.


Kesimpulannya, penggunaan batu ladung sedikit sebanyak boleh mempengaruhi situasi pancingan yang dilakukan. Pemilihan batu ladung yang sesuai mengikut kaedah pancingan boleh menjamin kelancaran aktiviti pancingan pada masa itu. Semoga artikel ini dapat dijadikan sedikit panduan semua kaki pancing. Berjumpa semula di artikel yang akan datang.

Salam Pemancing.. !!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...